KUALA LUMPUR: Sebanyak 60,000 peminat bola sepak dijangka menyaksikan perlawanan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ridzuan Khalid berkata semua pintu masuk stadium dibuka seawal pukul 5.30 petang dan pemeriksaan keselamatan akan dilakukan terhadap penonton sebelum serta selepas memasuki stadium untuk mengelakkan mereka membawa masuk barangan yang dilarang.

Beliau berkata antara barangan itu adalah mercun, bunga api, suar, topi keledar, pen laser, objek tajam, senjata berbahaya, minuman keras, payung, tongkat, bank kuasa, botol air, ais ketul, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, dron, pembesar suara dan gendang (tanpa kebenaran MFL).

“Untuk kelancaran lalu lintas, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan elakkan melalui kawasan sekitar stadium jika tiada urusan berkaitan perlawanan.

“Orang ramai juga diminta mematuhi arahan pegawai polis, mengamalkan sikap berhemah di jalan raya serta tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan saman dan tunda akan dikenakan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kekacauan, rusuhan serta provokasi melampau semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan berkenaan.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.