• 2025-06-17 05:39 PM

KUALA LUMPUR: Upacara penghormatan terakhir bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mendiang Datuk Seri G. Palanivel akan diadakan di kediamannya di Jalan Bangkung Bangsar, di sini esok.

Isteri mendiang, Datin Seri P. Kanagam berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran sahabat handai, kenalan dan orang ramai bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC itu.

Kanagam berkata mendiang suaminya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak seminggu lepas berikutan jangkitan kuman dan meninggal dunia pada 8.40 pagi tadi.

“Ketika dia menghembuskan nafas terakhir, saya dan anak-anak berada di sisinya, kecuali seorang lagi anak yang berada di Australia kerana bekerja di sana, dia sekarang dalam perjalanan balik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Beliau berkata jasad mendiang kini masih berada di Jabatan Forensik HKL dan dijangka dibawa pulang ke rumahnya malam ini.

Kanagam berkata upacara keagamaan bagi mendiang suaminya pula akan diadakan di kediaman itu pada Khamis, sebelum jasad mendiang dibawa ke Tapak Krematorium Sentul untuk disemadikan.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.

Palanivel aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.

Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands.