• 2025-09-29 08:19 PM

KOTA KINABALU: Sebanyak 6,409 syarikat pengangkutan awam dan barangan melibatkan 14,527 kenderaan telah mendaftar untuk subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sehingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, 357 syarikat dengan 601 kenderaan didaftarkan di Sabah manakala di Sarawak, 146 syarikat dengan 356 kenderaan telah mendaftar.

Beliau menyatakan sambutan daripada syarikat-syarikat amat menggalakkan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September lepas.

Armizan berharap syarikat yang belum mendaftar segera berbuat demikian bagi mendapatkan manfaat daripada program berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Armizan berkata syarikat yang belum mendaftar dan memiliki kad fleet subsidi petrol RON95 boleh mengemukakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai selepas program berkenaan dilaksanakan sepenuhnya esok.

Kelayakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai tertakluk kepada beberapa syarat termasuk syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon kad fleet sebelum atau pada 31 Oktober 2025.

Pembayaran balik tunai itu untuk tempoh pembelian petrol 30 September hingga 31 Oktober atau sehingga tarikh kad fleet diterima syarikat yang mana lebih awal.

Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform sama iaitu SKPS dengan semua tuntutan wajib disertakan bukti resit pembelian petrol RON95 yang dimuat naik ke dalam sistem.

Beliau berkata penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi SKPS dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan strategi berkesan dalam menangani ketirisan subsidi bahan api yang berlarutan sekian lama.

Melalui SKPS dan BUDI95 keseluruhan transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak stesen minyak syarikat dan individu pengguna akan direkodkan secara digital.

Penggunaan kad fleet dalam SKPS untuk syarikat dan MyKad (BUDI95) untuk individu akan direkodkan dalam sistem yang membolehkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.

Sistem itu juga termasuk pemantauan dan penguatkuasaan terhadap transaksi meragukan seperti pembelian berulang dan pembelian dalam jumlah tidak wajar.

Katanya sistem itu akan menyelesaikan isu manipulasi penjualan dan pembelian di seluruh rantaian termasuk stesen minyak sebagaimana modus operandi aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan selaku pemilik sistem untuk mengesan transaksi meragukan.

Beliau memperingatkan semua pihak akan tanggungjawab masing-masing terhadap semua penggunaan kad fleet MyKad dan kaedah pembelian lain yang dibenarkan dalam memanfaatkan subsidi petrol RON95.

Armizan menambah tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan manipulasi penyelewengan atau penyeludupan. – Bernama