654 premis di ibu kota ada Sijil Perakuan Bomba sebagai selamat untuk didiami

KUALA LUMPUR: Sebanyak 654 unit premis di ibu negara mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) sebagai pengesahan bangunan itu selamat untuk didiami.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 1,046 premis yang telah diperiksa di bandar raya ini senpanjang tahun lalu.

“Selebihnya (392 unit) tidak mempunyai FC. Antara faktor utama FC gagal dikeluarkan ialah kegagalan mengemukakan pelan bangunan dan sistem di dalam bangunan tidak berfungsi.

“Sesetengah daripada premis ini adalah bangunan lama, pengurusan premis perlu membuat balik pelan bangunan dan ini memerlukan masa yang lama selain jumlah kewangan yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC2023) dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kuala Lumpur di Kompleks Kuarters Cheras, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata Bahagian Keselamatan Kebakaran Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 155 notis FC6 (pemeriksaan perakuan bomba) dan 114 premis (kes) telah dibawa ke cawangan pendakwaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 33 (Akta 341) serta 18 premis untuk tindakan pemeriksaan.

Bagi Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK), katanya sebanyak 453 unit premis telah dikeluarkan notis MBK kerana gagal mematuhi keperluan keselamatan kebakaran yang melibatkan 5,567 notis.

Selain itu, katanya pihaknya melakukan pemeriksaan Ops Sri Perumahan Awam (PA) di 122 blok perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berusia lebih 30 tahun.

Dalam pada itu, melalui pemeriksaan khas Ops Sarang Burung melibatkan rumah dan bilik yang diubah suai tanpa kelulusan pihak berkuasa, sebanyak 55 premis dikenal pasti dan 24 daripada jumlah itu dikenakan tindakan sebanyak 175 notis.

Pada majlis itu, seramai 70 pegawai dan anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan seorang anggota bomba menerima anugerah perkhidmatan lebih 30 tahun. - Bernama

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad. - fotoBERNAMA