KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melantik Azizan Abd Aziz sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharunya, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.
Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata pengalaman luas Azizan dalam bidang kewangan akan memainkan peranan penting bersama pasukan kepimpinan dalam membantu mengukuhkan kecekapan operasi dan usaha strategik Bursa Malaysia bagi mengemudi landskap pasaran yang semakin dinamik.
“Menerusi kapasitinya sebagai CFO, beliau akan menyelia keseluruhan fungsi kewangan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat dan belanjawan,” kata Fad’l dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan merupakan CFO kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Bhd.