MELAKA: Sebanyak 93 kes baharu COVID-19 didaftarkan pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME 23), iaitu bagi tempoh 1 hingga 7 Jun.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata jumlah itu, meningkat sebanyak 20.8 peratus berbanding 77 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

“Jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Melaka ialah sebanyak 164,821 kes, dengan purata kes harian sepanjang minggu tersebut ialah 13 kes.

“Jumlah kes sembuh ialah 163,593 kes dan tiada kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kes kematian baharu dilaporkan pada minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ngwe berkata jumlah kematian kekal sebanyak 1,228 kes dan tiada kluster aktif dilaporkan di dalam mahu pun dari luar negeri Melaka setakat 7 Jun.

Beliau berkata sehingga ME 23, keseluruhan kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI yang dipantau di Melaka, sebanyak 1,545 kes iaitu tujuh kes VOC Beta, 144 kes VOC Delta, 1276 kes VOC Omicron dan 79 kes VOI.

“Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau perkembangan kejadian penyakit berjangkit di Melaka dan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan COVID-19, akan dijalankan secara berterusan dengan bantuan dan kerjasama dari pelbagai agensi,” katanya.