KUALA LUMPUR: Sebanyak 97,866 atau 49 peratus daripada jumlah keseluruhan 197,348 peminjam aktif telah disenarai hitam oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai langkah pengukuhan kepada pembayaran pinjaman berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata senarai hitam itu dikenakan terhadap peminjam yang tidak dapat membayar pinjaman dalam tempoh tiga bulan dan hanya terangkum dalam pengurusan MARA sahaja serta tidak melibatkan agensi dan ekosistem lain.

“Bagi pinjaman kepada anak-anak atau pelajar yang ingin mohon bantuan MARA sebenarnya agak mudah walaupun ibu bapa dalam senarai hitam tapi rundingan boleh dilaksanakan. MARA ambil pelbagai kaedah ‘asal bayar sahaja’, maksudnya jumlah dan ansuran itu boleh dikurangkan.

“Untuk pastikan pinjaman pelajar diluluskan, pinjaman ibu bapa tidak semestinya bayar keseluruhan, sebenarnya bayar tunggakan sahaja dan ini satu proses memudahkan dan yang penting proses pembiayaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu jumlah peminjam MARA yang disenarai hitam serta perancangan MARA dalam melonggarkan syarat bagi anak-anak yang ibu bapa mereka telah disenarai hitam.

Mengenai jumlah terkini pelajar tajaan MARA di dalam dan luar negara, Rubiah berkata sebanyak 96,857 pelajar sedang menerima kemudahan berkenaan, terdiri daripada 90,919 pelajar mengikuti pengajian dalam negara dan 5,938 pelajar di luar negara.

Beliau berkata pada 2023, peratusan kutipan semula pinjaman pelajaran MARA sebanyak 100 peratus atau RM300 juta, manakala setakat suku ketiga tahun ini, peratusan kutipan mencapai 70 peratus daripada jumlah sasaran RM400 juta.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung jumlah penerima pinjaman MARA yang tidak perlu membayar semula pinjaman, Rubiah berkata tidak ada seorang peminjam MARA yang terkecuali daripada membuat pembayaran semula.

“Tiada konsep biasiswa cuma kadar pembayaran yang dikurangkan berdasarkan keputusan CGPA (Purata Nilai Gred Kumulatif) yang mereka peroleh, ada yang bayar cuma 50 peratus, 30 peratus, paling minimum 10 peratus daripada jumlah pinjaman. 100 peratus tak bayar tu memang tak ada, konsep kita adalah pinjaman,” katanya.