KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara Aaron Chia berhasrat melihat semua empat slot separuh akhir acara beregu lelaki di Kejohanan Badminton Dunia 2025 diisi pasukan Malaysia.
Kejohanan itu berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Aaron yang berganding dengan Soh Wooi Yik menyatakan situasi itu mungkin dicapai berdasarkan prestasi terkini pasangan negara.
Antara pasangan berpotensi ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking ketiga dunia), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ranking ketujuh dunia), dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (ranking ke-22 dunia).
Jika berjaya, Aaron berkata ia amat bermakna kerana separuh akhir berlangsung sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
“Saya rasa Wei Chong-Kai Wun, Wan Arif-Roy King juga ada peluang. Jika ada empat beregu pada separuh akhir, kita boleh raikan awal Hari Kebangsaan,” katanya selepas latihan.
Aaron-Wooi Yik, pasangan kedua terbaik dunia, kini paling cemerlang dengan tiga gelaran tahun ini.
Mereka menang di Kejohanan Badminton Asia 2025, Terbuka Thailand, dan Terbuka Singapura.
Selain itu, mereka juga dua kali naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka China.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut cemerlang dengan gelaran Masters Indonesia dan Masters Malaysia.
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Wan Arif-Roy King masing-masing menang di Terbuka India dan Terbuka Macau.
Aaron berharap lokasi Kejohanan Dunia 2025 membawa tuah seperti ketika mempertahankan gangsa Olimpik 2024.
Beliau mahu mengulangi kejayaan menjadi juara dunia 2022 di Tokyo.
“Tahun lepas kita main di arena sama. Saya harap kali ini boleh bermain lebih baik,” katanya.
Pada 2022, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah sebagai juara dunia pertama negara dengan mengalahkan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.
Kini, mereka fokus mengekalkan konsistensi menjelang Kejohanan Dunia 2025.
Aaron menjangkakan pasangan nombor satu dunia Kim Won Ho-Seo Seung Jae sebagai ancaman utama.
Pasangan Korea Selatan itu sudah memenangi lima gelaran termasuk Seluruh England 2025 - BERNAMA