IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak daripada pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lepas.
Peguam M. Athimulan ketika dihubungi Bernama hari ini berkata Hakim Moses Susayen membebaskan Zulhairin Yahya, 53, dan Zaidi Dali, 57, selepas membenarkan rayuan mereka.
“Secara ringkas, hakim kata sabitan itu tidak selamat, oleh itu mahkamah membenarkan rayuan kedua-dua tertuduh, serta melepas dan membebaskan mereka,“ kata Athimulan yang mewakili Zaidi.
Pada 23 Sept 2022, Zulhairin dan Zaidi, masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan denda RM85,000 di Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah.
Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap kedua-dua lelaki itu dan penjara 10 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda itu.
Mereka juga dihukum tiga tahun penjara dan denda RM35,000 serta lapan bulan penjara, jika gagal membayar denda itu bagi dua kesalahan memperoleh suapan sebanyak RM7,000.
Zulhairin dan Zaidi dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa dengan niat bersama meminta suapan RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek, sebagai dorongan untuk memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Seri Manjung.
Kesalahan itu dilakukan di Club House Meru Valley Golf & Country Club di sini pada 9 malam 5 Nov 2015.
Zulhairin juga didakwa sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perak memperoleh suapan berjumlah RM7,000 daripada Nga menerusi Zaidi, sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan sama di Restoran Knock Knock Meru Jaya di sini, pada 12.05 tengah malam 12 Nov 2015.
Zaidi turut didakwa sebagai Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Perak memperoleh suapan untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perak berjumlah RM7,000 daripada Nga, sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf & Country Club di sini, pada 9.55 malam 11 Nov 2015.
Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim bertindak bagi pihak Zulhairin- BERNAMA