• 2025-07-26 11:01 PM

RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperluas akses pembelian barangan keperluan asas kepada penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan ini membolehkan penerima SARA menggunakan bantuan mereka untuk membeli barangan di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bergerak, selain di premis perniagaan sedia ada.

“Setakat ini, penerima SARA hanya boleh membeli di 4,152 premis pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara, termasuk 470 premis di Sabah. Inisiatif ini akan memudahkan mereka, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman,“ katanya selepas merasmikan Karnival KPDN 2025 Zon Sabah.

Armizan menambah, dengan peruntukan tambahan RM300 juta untuk PJRM, kementerian akan meningkatkan kekerapan pelaksanaan program tersebut. Sasaran tahun ini ialah 20,000 siri PJRM di seluruh negara, dengan 2,276 siri di Sabah.

“Sejak Januari hingga 26 Julai 2025, sebanyak 1,089 siri PJRM telah dilaksanakan di Sabah. Kami akan memastikan sasaran 2,276 siri tercapai menjelang akhir tahun,“ jelasnya.

Antara pendekatan yang akan dilaksanakan termasuk menambah jumlahs barangan yang ditawarkan dan memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik sektor peruncitan.

“Kami tidak boleh bergerak sendirian. Contohnya, PJRM hari ini juga dilaksanakan dengan kerjasama rakan peruncitan,“ ujarnya.

Karnival KPDN 2025 di Ranau, yang berlangsung selama tiga hari, dijangka menarik 60,000 pengunjung. Program ini bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan memperkasakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

“KBBM dengan tema ‘Jom Beli Lokal’ menyokong produk tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik. Ini membantu usahawan dan PMKS tempatan dalam memperluas pasaran,“ kata Armizan. - Bernama