KUCHING: Masyarakat Islam disarankan mengangkat konsep wakaf kepada wakaf ilmu bagi memperkukuh daya saing umat dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global yang dipacu teknologi digital.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain wakaf harta dan aset, wakaf ilmu juga perlu diberi tumpuan sebagai bentuk sumbangan berterusan kepada kesejahteraan manusia sejagat.
Beliau menekankan kepentingan pembangunan pengetahuan, inovasi dan teknologi baharu melalui konsep wakaf ilmu ini.
“Apabila kita mampu mencipta teknologi, termasuk kandungan kecerdasan buatan (AI), maka ia akan dimanfaatkan oleh seluruh manusia demi kebaikan bersama.
“Wakaf ilmu ini penting, bukan sahaja daripada aspek aset fizikal tetapi juga daripada ilmu yang dimiliki,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan ke-14 Forum Zakat dan Waqaf Sedunia serta Persidangan Antarabangsa 2024 Tabung Baitulmal Sarawak.
Beliau berkata forum itu memberi peluang kepada Sarawak dan negara anggota lain untuk berkongsi pengalaman, idea serta peluang baharu dalam memperkukuh sistem ekonomi Islam.
Sistem ekonomi Islam berasaskan zakat dan wakaf ini boleh diperkukuh di peringkat antarabangsa melalui perkongsian sedemikian.
Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri tidak bercadang mengantarabangsakan Tabung Baitulmal Sarawak yang menjadi contoh pengurusan berkesan.
Agensi itu berjaya mengkoordinasikan kekuatan ekonomi masyarakat Islam di peringkat negeri melalui pengurusan yang cekap.
Menurutnya, kisah kejayaan agensi itu perlu dikongsi dengan rakyat dan institusi lain sebagai model terbaik dalam memperkasa ekonomi umat Islam.
Pendekatan berstruktur serta berimpak telah membantu meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam di Sarawak.
“Fungsi utama Baitulmal ialah menyalurkan zakat dan menguruskan aset wakaf dengan baik.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah berkongsi pengetahuan serta pendekatan yang telah membantu meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam di Sarawak,” katanya. – Bernama