KANGAR: Jadual perjalanan feri bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi akan dipinda bermula 17 Oktober ini.
Perubahan ini berlaku susulan keadaan alur pelayaran di kawasan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis semakin cetek akibat mendapan lumpur.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata 18 trip feri dari Langkawi ke Kuala Perlis akan diawalkan atau dilewatkan pada 17 dan 18 Oktober serta dari 20 hingga 28 Oktober.
Beliau menambah bahawa 16 perjalanan bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi turut terlibat dalam pindaan jadual pada tarikh yang sama.
“Pemakluman waktu pelayaran yang diawalkan atau dilewatkan akan dihebahkan melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas kepada penumpang yang membuat pembelian dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhafiz menyatakan penumpang yang membeli tiket di kaunter boleh merujuk laman Facebook Cuti Cuti Langkawi untuk maklumat terkini.
Penumpang yang membuat pembelian dalam talian boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan Cuti Cuti Langkawi di talian 012-7327174 bagi urusan penukaran tarikh tiket.
Penumpang yang membuat pembelian secara fizikal boleh terus ke kaunter untuk sebarang pertanyaan.
Beliau turut mendedahkan bahawa kedalaman air laut bagi pelayaran feri dinaikkan daripada 1.0 meter kepada 1.2 meter.
Peningkatan kedalaman air ini dilaksanakan demi keselamatan feri dan penumpang. – Bernama