• 2025-10-13 06:26 PM

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan semua fakta yang dikemukakan di Dewan Rakyat mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru berdasarkan dokumen rasmi kerajaan.

Beliau menyifatkan dakwaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sebagai fitnah serius yang mencalarkan reputasinya sebagai menteri.

Zaliha berkata tuduhan tersebut merupakan percubaan untuk merendahkan integriti Parlimen itu sendiri.

“Sekiranya beliau mendakwa saya memesongkan fakta maka beliaulah yang wajar tampil dan mengemukakan bukti sebaliknya,“ katanya.

Beliau menegaskan integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan tidak berasas.

Zaliha berkata fokus Kerajaan MADANI kini memastikan penduduk yang bersetuju kembali ke Kampung Sungai Baru dengan segera.

Kerajaan juga komited memastikan penduduk memperoleh hak sewajarnya mereka.

Annuar sebelum ini memberi notis menuntut penjelasan Zaliha mengenai jawapannya di Parlimen.

Beliau mendakwa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dilakukan secara tergesa-gesa dalam tempoh tiga hari pada 2021. – Bernama