BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini pada 1.38 tengah hari tadi, menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff.

“Keluarga Allahyarham memaklumkan kepada saya bahawa paras oksigennya rendah dan saya terus singgah ke hospital sebelum solat Jumaat. Selepas itu, saya dimaklumkan oleh keluarganya yang Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 1.38 tengah hari,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nor Zamri, 54, menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ kerana mengalami keradangan dalam perut sejak awal bulan ini.

Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 atau 15,433 undian.

-- LAGI