KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menafikan pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah.
AGC dalam satu kenyataan hari ini memakumkan bahawa ini kerana Anwar telah diberi pengampunan penuh oleh Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang pada 16 Mei 2018.
“Jabatan ini menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri pada masa itu,” menurut AGC.
Kenyataan itu memaklumkan atas nasihat Lembaga Pengampunan, Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenar dan diberikan pembebasan serta merta berkuat kuasa dari tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.
Menurut kenyataan itu, bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.
Justeru, AGC menafikan kenyataan Dr Mahathir yang mana bekas perdana menteri itu secara terbuka telah menyatakan bahawa pengampunan tersebut adalah tidak sah kerana tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan.
Sehubungan itu, AGC memandang serius perkara tersebut sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi.
“AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali,” kata AGC dalam kenyataan itu.