MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra dengan pengunjung ketika berangkat ke restoran di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dusun Panti, Jalan Kota Tinggi-Mersing hari ini.
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda yang dalam perjalanan ke Mersing singgah di restoran berkenaan untuk santapan pagi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut mesra oleh orang ramai.
“Dengan penuh kemesraan, Seri Paduka Baginda turut meluangkan masa bergambar bersama sebuah keluarga yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata,“ menurut hantaran itu.
Foto tersebut turut dimuat naik bersama hantaran berkenaan - BERNAMA