KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan agar ibadah korban dapat dilakukan dengan sempurna, diberkati dan diterima Allah SWT.

“Jadikan semangat pengorbanan ini terus menyatukan rakyat dalam keharmonian, kasih sayang dan nilai kemanusiaan sejagat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut mendoakan supaya jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat mengerjakan ibadah dengan selamat dan dikurniakan haji mabrur.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha esok.