• 2025-07-09 10:22 PM

KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Malaysia yang percaya keadaan negara semakin merosot menurun kepada 40 peratus tahun ini berbanding 52 peratus pada 2023.

Penurunan sebanyak 12 peratus ini menunjukkan perubahan positif dalam persepsi masyarakat terhadap hala tuju negara.

Menurut tinjauan terbaharu oleh Ipsos, angka ini lebih rendah berbanding purata global iaitu 57 peratus.

Walaupun rakyat Malaysia menunjukkan pandangan yang lebih optimistik, kira-kira dua pertiga masih berpendapat wujud jurang sosial yang ketara serta ketidakseimbangan ekonomi yang memihak kepada golongan kaya dan elit politik.

“Situasi ini menunjukkan keperluan untuk memulihkan kepercayaan terhadap institusi dan berpotensi mencetus perubahan sosial,“ menurut Ipsos dalam kenyataannya.

Separuh daripada responden percaya negara memerlukan pemimpin yang tegas dan berani bertindak.

Ipsos turut menekankan pentingnya kesediaan Malaysia menghadapi ketidaktentuan global dengan memperkukuh kesepaduan sosial menerusi kepimpinan berkesan.

“Usaha ini penting untuk menjamin kestabilan masa depan semua rakyat Malaysia,“ tambah kenyataan tersebut. – Bernama