Your Title

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyambut baik pendekatan subsidi bersasar oleh Kerajaan MADANI yang berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

Seri Paduka Baginda bagaimanapun mahu agar subsidi bersasar digagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.

Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini, turut mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan, sekali gus berharap ia akan terus dipertingkatkan.

“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.

“Namun begitu kerajaan hendaklah menentukan arah prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda.

Turut hadir pada istiadat itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru kerajaan untuk terus membantu pekebun kecil, petani, peternak dan nelayan dengan mengambil tindakan proaktif bagi memperkasakan sektor pertanian, komoditi dan rantaian bekalan makanan.

Titah Sultan Ibrahim, agenda memperkasakan ekonomi bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan mesti terus dilaksanakan.

“Kerajaan juga perlu terus komited untuk memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah kediaman yang mampu dibeli, penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan, dan pendidikan hendaklah terus ditambah baik,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional, serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan sokongan atas usaha pengukuhan nilai-nilai keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

“Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mahu semua pihak menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal memperlihatkan keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat, selain membuka peluang ekonomi dan mengukuhkan imej negara di mata dunia.

“Oleh itu semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen ini terutama dalam memastikan negara kita bersih dan selamat. Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga menzahirkan penghargaan atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Seri Paduka Baginda dan negara, oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi kerajaan, yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, aman bahagia dan sejahtera,” titah Seri Paduka Baginda.