KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
Pada masa sama, baginda bertitah agar pengukuhan infrasktruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini, perlu dilaksanakan dengan segera.
“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya “red tape” (karenah birokrasi) yang menyusahkan urusan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda bertitah agar kerajaan terus berusaha mempertingkat prestasi ekonomi negara.
Sambil menzahirkan rasa sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara yang bertambah baik, Sultan Ibrahim bertitah prestasi itu turut membawa nikmat kemakmuran kepada rakyat dan tidak memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.
“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
“Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim juga bertitah agar agenda memperkasa ekonomi bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan terus dilaksanakan.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari bemula hari ini dan disusuli dengan persidangan Dewan Negara selama 13 hari bermula 3 Mac, 2025.