PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerima taklimat mengenai isu semasa termasuk pembentukan tribunal kehakiman dalam pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Ketua Penerangan PKR, berkata penjelasan turut diberikan mengenai Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Ada juga penjelasan mengenai pembentukan tribunal dan beberapa perkara berkaitan,“ katanya kepada media selepas pertemuan di Kompleks Seri Perdana.
Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyentuh pelantikan, pemecatan, dan syarat perkhidmatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi.
Fahmi menambah bahawa maklumat lanjut mengenai isu kehakiman akan diumumkan dalam sidang media pasca-Kabinet.
Pertemuan hampir dua jam itu mendapat sambutan positif daripada Ahli Parlimen PH. “Pertemuan ini sangat baik dan diterima baik oleh Ahli Parlimen. Insya-Allah, kita akan lihat perkara-perkara yang berbangkit selepas ini,“ jelasnya.
Sesi ini merupakan sambungan kepada pertemuan serupa bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lalu bagi membincangkan isu cukai, khabar angin subsidi petrol RON95, dan badan kehakiman. – Bernama