• 2025-07-14 10:19 PM

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang pemandu teksi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cedera parah selepas ditikam dan dikelar di kawasan asrama pekerja di Desa Cemerlang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata suspek ditahan di lokasi kejadian pada pukul 2.30 pagi semalam.

“Semua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut,“ katanya.

Mangsa, Mohd Zulkefli Mydin, 40, mengalami kecederaan parah akibat tikaman di perut dan paha kiri serta kelaran di pergelangan tangan kiri.

Dia dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan kecemasan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu penumpang sebelum didatangi beberapa individu warga asing dipercayai berasal dari Myanmar dan Nepal dalam keadaan mabuk.

Salah seorang daripada mereka memanggil mangsa dengan nada provokatif sebelum menyerang menggunakan senjata tajam. – Bernama