KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada enam pertuduhan gagal memberikan penjelasan mengenai wang hampir RM2 juta di dalam akaun bank miliknya, dua tahun lepas.

Hakim Azrul Darus membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Shafarich Ong Abdullah, 51, di akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada keenam-enam pertuduhan dan wang jaminan RM6,000 dipulangkan kepada tertuduh,” kata hakim itu.

Sebanyak enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes bermula 10 Julai 2023. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind manakala tertuduh diwakili peguam C. Paul.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa tidak dapat memberikan penjelasan munasabah bagaimana dia memperoleh wang berjumlah RM1,920,000 yang telah dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Sentul di sini antara 9 Mei 2022 dan 23 Jun tahun sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.