KUALA LUMPUR: Semua ahli UMNO perlu terus mencurahkan khidmat bakti agar dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat, selain tidak boleh terus terbuai dan berasa selesa dengan kejayaan lepas kerana ia boleh mendatangkan kerugian kepada parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perjuangan UMNO yang bersifat kebangsaan, bukanlah hanya untuk mendapatkan kuasa tetapi bagi mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada parti.

“Tanpa itu, kita boleh bertanya pada diri kita apa lagi yang tinggal pada parti ini? apa lagi makna kehadiran UMNO di pentas politik orang Melayu? Oleh itu, setiap daripada kita perlu memainkan peranan di lingkungan masing-masing untuk menjayakannya,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata semua ahli juga mesti menonjolkan keunggulan dan keunikan UMNO sebagai gerakan kebaikan, yang memperjuangkan masa depan orang Melayu.

“Pelbagai perkara telah diungguli UMNO, antara lain penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji dan terkini inisiatif pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi anak-anak orang Melayu.

“Semua ini perlu diuar-uarkan bagi mengangkat peranan UMNO yang berbeza dengan parti-parti yang lain,” katanya.

Mohamed Khaled berkata keberadaan UMNO di dalam kerajaan MADANI juga sebagai jajaran strategi politik dan UMNO masih kekal menjadi satu-satunya jurucakap orang Melayu yang memperjuangkan soal kepentingan dan nasib mereka.

“Dengan sedikit kuasa yang ada, selain dapat berkhidmat dengan baik, kita juga mempunyai kesempatan untuk memulih dan merawat semula parti ini,” katanya.