• 2025-07-23 04:52 PM

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan bagi penggal kedua ini berkuat kuasa selama tiga tahun sehingga 22 Julai 2028. Ahmad sebelum ini berkhidmat sebagai Senator dari 22 Julai 2022 hingga 21 Julai 2025.

Dalam ucapannya, Awang Bemee mengalu-alukan pelantikan semula Ahmad dan mengingatkan semua Ahli Dewan Negara agar sentiasa memahami isu semasa serta mendukung peranan Dewan Negara sebagai badan legislatif tertinggi.

Selepas majlis, Ahmad memberitahu media bahawa pelantikan semula ini adalah mandat untuknya terus mempertahankan hak dan keistimewaan Sarawak di bawah Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Marilah kita terus melangkah ke hadapan bukan hanya sebagai suara bantahan, tetapi sebagai suara harapan bukan untuk memecah belah tapi untuk memperkukuh perpaduan,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kanowit berjanji akan melaksanakan amanah dengan lebih tekad dan semangat, disokong oleh ahli-ahli Dewan Negara. - Bernama