• 2025-07-15 05:18 PM

ROTORUA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Majlis Perniagaan Orang Asli dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus bagi memperkasa ekonomi komuniti tersebut.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada lima cadangan utama hasil kajian kejayaan komuniti Maori di New Zealand dalam memartabatkan masyarakat pribumi mereka.

“Saya akan mengadakan mesyuarat khusus dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membincangkan penubuhan Majlis Perniagaan Orang Asli. Kita juga akan mempertimbangkan sebuah institusi TVET melibatkan pelbagai bidang kemahiran yang boleh melahirkan teknopreneur dalam kalangan Orang Asli,“ katanya selepas sesi meja bulat bersama pemimpin perniagaan Maori di Rotorua.

Selain itu, kerajaan turut merancang menubuhkan sektor khas di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk menyediakan pinjaman mikro kepada kaum ibu Orang Asli bagi membantu mereka menjana pendapatan sampingan.

“Pada hemat saya, khususnya untuk kaum ibu masyarakat Orang Asli, kita mahu mereka menjana pendapatan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Ini boleh kita pelajari hasil lawatan di sini,“ jelas Ahmad Zahid.

Usaha meningkatkan penyertaan anak Orang Asli ke institusi pengajian tinggi (IPT) turut diberi perhatian. Pada 2023, sasaran 300 kemasukan berjaya dilepasi, manakala sasaran 400 pada 2024 turut dicapai.

“Alhamdulillah, tahun ini lebih 500 Orang Asli berjaya melanjutkan pengajian ke IPT. Insya-Allah angka ini akan terus dipertingkatkan,“ tambahnya.

Cadangan lain termasuk meminda perundangan berkaitan Orang Asli bagi meningkatkan mobiliti sosial mereka, terutamanya dalam pendidikan.

Pelaksanaan cadangan ini akan dipantau oleh Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor.

Dalam lawatan kerja lima hari ke New Zealand, Ahmad Zahid turut melawat Whakarewarewa Living Maori Village dan Onuku Farm bagi mempelajari amalan terbaik dalam pertanian dan ternakan untuk diaplikasikan di Malaysia. - Bernama