PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 berikutan timbulnya kekeliruan mengenai proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk meneliti struktur dan tafsiran akta tersebut.
Jawatankuasa itu akan melibatkan ahli parlimen, pakar perlembagaan, peguam, dan ahli akademik. “Kita perlu penambahbaikan kerana yang berlaku sekarang ini ialah wujud banyak kekeliruan, tiada kejelasan dari sudut pandangan awam,“ kata Azalina.
Beliau menegaskan bahawa JAC yang ditubuhkan pada 2009 telah berjaya melantik lima Ketua Hakim Negara tanpa isu sebelum ini. “Malangnya, kini timbul isu, jadi kita perlu betul-betul meneliti perkara ini. Dari manakah datangnya kekeliruan atau tidak jelas itu? Adakah ia berpunca daripada proses atau peruntukan dalam akta itu sendiri?”
Azalina menjelaskan bahawa JAC bukanlah undang-undang yang mengikat dalam pelantikan hakim. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai badan yang menapis, menilai, dan mencadangkan calon kepada Perdana Menteri. Pelantikan ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi masih mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia (MICGI) 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.