• 2025-07-15 10:16 PM

SANDAKAN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di sebuah sungai berdekatan Taman Kenari, Batu 7, semalam ditemukan meninggal dunia petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata mayat Obing Markum, 30-an, dijumpai pada 2.10 petang oleh pasukan penyelamat di kawasan sungai itu, kira-kira satu kilometer dari bot lelaki terbabit.

“Mangsa menjalankan aktiviti menangkap ikan pada 6 petang semalam di sungai Taman Kenari, sebelum penduduk kampung menemukan botnya di tepi sungai dengan kesan gigitan buaya.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut disertai penguat kuasa Jabatan Hidupan Liar, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Polis Marin dan orang awam bermula 8.57 pagi tadi,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Jimmy berkata mayat lelaki warga asing itu dihantar ke Hospital Sandakan untuk tindakan lanjut manakala SAR ditamatkan sepenuhnya pada 3.40 petang.