KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-8 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, Switzerland pada 4 dan 5 Jun ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, diiringi pegawai kanan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar.
Timbalan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Meja Bulat Peringkat Menteri yang bertajuk Safe Schools Now: Protecting Every Child from Disaster and Climate Risk.
“Beliau akan menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam pengurusan bencana melalui pelancaran Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, pelaksanaan Program Sekolah Selamat dan Program Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti serta pelancaran Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana,” menurut kenyataan itu.
Semasa di Geneva, Ahmad Zahid dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana Kamal Kishore.
“Mesyuarat berkenaan akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mempertimbangkan potensi kerjasama dalam pengurusan risiko bencana bersama PBB dan rakan-rakan antarabangsa yang lain,” menurut kenyataan itu.
GPDRR adalah platform antarabangsa yang penting untuk menilai pencapaian negara-negara anggota PBB termasuk Malaysia dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.
Malaysia merupakan perintis rangkaian ini dan akan kekal teguh dalam komitmennya untuk mengurus dan mencegah bencana selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan 2030.