• 2025-07-15 11:23 AM

ROTORUA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan lawatan kerjanya di New Zealand dengan kunjungan ke Rotorua, sebuah bandar yang terkenal dengan budaya Maori dan aktiviti geoterma. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang sosial dan ekonomi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menghadiri Sesi Meja Bulat bersama komuniti perniagaan Maori. Beliau turut melawat Whakarewa Living Maori Village untuk mendalami budaya tempatan sebelum menikmati hidangan tradisional Geothermal Hangi yang dimasak menggunakan haba bumi.

Sebelum meninggalkan Rotorua, beliau melawat Onuku Farm, sebuah ladang ternakan biri-biri dan tenusu, bagi mempelajari amalan terbaik industri pertanian yang berpotensi diaplikasikan di Malaysia.

Pada 16 Julai, Ahmad Zahid akan ke Wellington untuk bertemu pemimpin kanan New Zealand, termasuk Timbalan Perdana Menteri David Seymour dan Menteri Luar Winston Peters. Beliau juga akan menyertai Forum Halal anjuran Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dan Kementerian Industri Utama New Zealand.

Selain itu, kerjasama dalam pendidikan tinggi akan diperkukuh dengan pemeteraian dokumen persefahaman antara kedua-dua negara. Ahmad Zahid juga dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro sebelum menghadiri majlis bersama komuniti Malaysia di Wellington.

Lawatan kerja ini dijangka berakhir pada Jumaat dengan kepulangan beliau ke Kuala Lumpur. - Bernama