AUCKLAND: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di Auckland hari ini bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke New Zealand. Ketibaan beliau disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, serta wakil Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.
Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa lawatan ini merupakan kesinambungan usaha Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan New Zealand yang telah terjalin sejak 1957. “Saya berharap siri lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan diplomatik sedia ada, memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, dan mempromosikan kepentingan nasional Malaysia di peringkat antarabangsa,“ katanya.
Semasa di Auckland, Ahmad Zahid dijadual bertemu dengan beberapa pemimpin New Zealand termasuk Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro, Timbalan Perdana Menteri David Seymour, dan Menteri Luar Negeri Winston Peters. Beliau juga akan menyertai Forum Halal anjuran Kementerian Industri Utama New Zealand serta menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama dalam pendidikan tinggi.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Ahmad Zahid akan melawat Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan New Zealand dan menghadiri sesi meja bulat bersama komuniti Maori di Rotorua. Selain itu, beliau akan beramah mesra dengan komuniti Malaysia di New Zealand yang dijangka dihadiri 250 rakyat Malaysia.
Lawatan ini menandakan kunjungan pertama pemimpin tertinggi Malaysia ke New Zealand sejak lawatan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005.