• 2025-07-07 08:04 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada tiga anak muda negara yang berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Turf & Gatsby International Barber Battle Bali Expo 2025 di Indonesia.

Pasukan Malaysia terdiri daripada Muhamad Aiman Ms Saad, Muhammad Faikandar, dan Muhammad Nazzim Safian berjaya mengatasi wakil dari 15 negara lain untuk dinobatkan sebagai juara kategori Tag Team Barber Battle.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan bahawa kejayaan ini membuktikan bakat anak muda desa mampu bersaing di peringkat global.

“Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih bermakna, Aiman dan Faikandar merupakan peserta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diadakan di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap bakat luar biasa anak muda Malaysia yang membuktikan kemahiran TVET seperti seni gunting rambut bukan sekadar alternatif, tetapi laluan kerjaya yang berpotensi.

“Teruskan menyinar! Kalau ada masa... Boleh datang ke pejabat gunting rambut saya tak?” katanya dengan nada bergurau. - Bernama