IPOH: Walaupun penggubalan undang-undang berkaitan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) belum dirancang, namun Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) telah dijadikan rujukan bagi mengawal selia penggunaan teknologi tersebut.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pihaknya telah mengadakan konsultasi dengan semua pemain industri mengenai pelaksanaan AIGE dan pihak terbabit bersetuju untuk mematuhi garis panduan berkenaan.
“Belum ada jangka masa yang jelas (untuk mengubal undang-undang berkaitan), tetapi itu adalah matlamat akhir kami supaya garis panduan (AIGE) itu boleh menjadi rujukan, dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
“Buat waktu ini masih ada undang-undang sedia ada boleh diguna pakai seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perak Ignite Entrepreneur Summit 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Yuk Choy di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata ‘scammer’ atau penipu mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi AI yang sangat drastik untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menggunakan pelbagai taktik terkini.
Ahmad Sazilee berkata amat penting masyarakat sentiasa cakna dan mengikuti perkembangan semasa serta berhati-hati dengan sindiket penipuan menggunakan kandungan dihasilkan AI untuk memperdaya orang ramai.
Pada September tahun lepas, kerajaan melancarkan AIGE, dan Chang ketika itu dilaporkan berkata garis panduan tersebut merupakan persediaan sekiranya kerajaan melaksanakan undang-undang AI pada masa akan datang.