KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperkasakan usahawan wanita India, menerusi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women fasa kedua (PENN 2.0).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan tambahan itu, menjadikan dana keseluruhan program terbabit mencecah RM100 juta.
Beliau berkata PENN 2.0 terhasil selepas kejayaan PENN fasa satu yang memberi manfaat kepada 6,247 wanita India dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM42,725,640.
“Daripada 6,247 yang menerima dana ini, seramai 1,062 merupakan usahawan baharu. Justeru, pengumuman tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta ini, akan memberi peluang kepada lebih ramai wanita India untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Ramanan berkata demikian pada Majlis Pelancaran PENN 2.0 Pemerkasaan Usahawan Wanita India di Ibu pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di sini hari ini.
PENN yang dilancarkan pada 14 April tahun lepas, merupakan antara initiatif kerajaan melalui AIM sebagai agensi pelaksana, bagi memperkasakan golongan wanita India khususnya dalam bidang keusahawanan.
Ramanan berkata AIM mensasarkan lebih 10,000 usahawan wanita India di seluruh negara, akan mendapat manfaat daripada dana tambahan itu.
Beliau berkata sasaran (dana) bukan sahaja kepada peserta baharu malah, usaha ini akan memperkukuh sokongan kepada peserta sedia ada, bagi mengembangkan perniagaan kecil-kecilan mereka dalam pelbagai sektor termasuk makanan, jahitan, kecantikan dan perkhidmatan komuniti.
“Sahabat usahawan yang telah menerima pembiayaan PENN rata-ratanya berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara 20 peratus hingga 30 peratus, berbanding sebelumnya,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1987, AlM telah menyalurkan lebih RM35.9 bilion kepada rakyat Malaysia (khususnya wanita), dalam usaha berterusan membebaskan golongan miskin dan berpendapatan rendah keluar daripada kemiskinan.