KUALA LUMPUR: AirAsia yang juga penyokong utama keterangkuman ASEAN, kini menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada 12,000 petugas media yang layak untuk mengembara ke 57 destinasi di serata 10 negara anggota blok berkenaan.
Pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata inisiatif itu tercetus daripada penghargaan terhadap peranan media yang telah banyak membantu perjalanan AirAsia -- bermula daripada operasi kecil dengan hanya dua pesawat dan kini berkembang kepada antara syarikat penerbangan tambang rendah terbesar rantau ini.
“Terus terang, AirAsia di tahap ini kerana mendapat banyak liputan media sejak hari pertama operasi. Media membantu berkongsi kisah kami, visi dan menyokong pertumbuhan kami...saya amat menghargai sumbangan media dalam kejayaan besar yang dicapai oleh syarikat penerbangan ini.
“Daripada hanya dua pesawat (pada 2001) kepada 250 pesawat sekarang. Dalam tahun pertama beroperasi, kami membawa 200,000 penumpang dan tahun ini akan mencecah angka satu bilion penumpang,” katanya.
Fernandes berkata demikian kepada Bernama dalam satu temu bual selain turut berkongsi penghargaan terhadap sokongan diterima syarikat penerbangan itu sejak mula beroperasi 24 tahun lepas.
Inisiatif yang diumumkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, juga diperkenalkan sebagai menyahut permintaan kerajaan Malaysia untuk mengenal pasti kaedah bermakna bagi meraikan ASEAN dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, katanya.
Tawaran diskaun itu bertujuan memberi peluang kepada kalangan wartawan untuk meneroka dan menimba pengalaman di negara-negara ASEAN lain.
“Seperti yang pernah saya katakan dalam temu bual sebelum ini, antara cara terbaik untuk menyatukan ASEAN adalah dengan membolehkan rakyat saling memahami dengan lebih baik.
“Ini juga usaha kecil kami untuk menyumbang ke arah matlamat itu dengan membantu wartawan yang telah lama menyokong kami untuk merasai sendiri pengalaman ASEAN secara langsung,” katanya.
Sejajar usaha mengenang peranan penyumbang kepada masyarakat ASEAN, Fernandes berkata AirAsia akan menamakan pesawat dengan nama wartawan selain paparan “livery” atau imej di badan pesawat.
“Saya sudah lama berhasrat untuk menamakan pesawat kami. Oleh itu, kami berhasrat memulakannya di HAWANA. Nama itu akan diumumkan kemudian.
“Kami ada kira-kira 250 pesawat dan ini bermakna bukan hanya wartawan, tetapi juga pemuzik, pelakon, tokoh sukan, penjaja makanan -- individu yang telah membentuk budaya ASEAN yang adakalanya dilupakan,” katanya.
Kempen itu juga adalah sebahagian daripada usaha besar AirAsia untuk menyokong aspek penghargaan budaya selain memperkukuh hubungan antara rakyat di seluruh rantau ASEAN.
Sambutan HAWANA 2025 yang bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika,” telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Kira-kira 1,000 pengamal media dari Malaysia dan luar negara menghadiri acara tahunan berprestij itu bagi meraikan dan menghargai kalangan warga media.
Acara anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan penting wartawan dalam pembangunan negara.