PUTRAJAYA: Akademi Bahas MADANI akan ditubuhkan secara berperingkat di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kemahiran berbahasa dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri pada masa depan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa akademi ini bukan sekadar ruang latihan biasa, tetapi akan menjadi platform untuk melatih pelajar menyusun dan menyampaikan pandangan dengan keyakinan, kematangan, dan adab yang tinggi.
“Akademi itu akan menumpukan kepada latihan, pendayaan dari sudut intelektual, hujah yang kritis dan latihan berterusan untuk memastikan anak-anak kita, khususnya di 72 SBP mendapat ruang dan peluang yang sama untuk dilatih dalam akademi yang akan digagaskan ini,” katanya selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025.
Fadhlina menekankan bahawa penubuhan akademi ini adalah sebahagian daripada agenda utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkasakan generasi muda.
“Agenda itu sangat baik kerana kita akan melatih lebih ramai pendebat, membuka ruang dan latihan ditumpukan kepada aspek dan kemahiran seperti ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal mengupas ilmu dan soal disiplin,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa piala pusingan pertandingan yang memasuki usia jubli emas akan diserahkan kepada Arkib Negara, manakala piala baharu bagi edisi ke-51 akan disumbangkan oleh Perdana Menteri.
Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi ke-50 Tahun 2025 menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang mempertahankan kejuaraan bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya menewaskan Sekolah Menengah Sains Muar bagi kategori Bahasa Inggeris. - Bernama