• 2025-07-10 11:24 AM

KUALA LUMPUR: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) melaporkan pengesanan satu akaun video palsu di Facebook yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran rasmi di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut RPO, video tersebut disebarkan dengan menampilkan suara Seri Paduka Baginda, kononnya menawarkan pelaburan berisiko tinggi dengan jaminan keuntungan.

“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu seperti ini yang sering digunakan oleh sindiket penipuan di media sosial,” menurut kenyataan RPO.

Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di bawah undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang,” tegas RPO. - Bernama