• 2025-07-26 03:58 PM

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 99 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam selepas mereka gagal melepasi saringan keselamatan.

Menurut kenyataan AKPS hari ini, kesemua individu terbabit terdiri daripada 80 warga Bangladesh, 10 dari India, dan sembilan dari Pakistan. “Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan,“ jelas kenyataan itu.

Kesemua 99 individu tersebut, yang semuanya lelaki, telah menjalani proses dokumentasi lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur undang-undang. Operasi intensif selama tujuh jam bermula pada pukul 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti.

“Operasi ini melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan, dan temu bual secara individu,“ menurut AKPS. Lebih 400 individu diperiksa dalam operasi yang menyasarkan penerbangan berisiko tinggi.

AKPS menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan seperti ini akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial. - Bernama