• 2025-10-17 03:33 PM

BUTTERWORTH: Parti Amanah Negara sedang memuktamadkan bilangan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari menyatakan terdapat beberapa calon yang telah disenaraikan parti itu untuk bertanding.

Beliau mengesahkan rundingan masih berjalan antara parti komponen dalam Pakatan Harapan termasuk pengagihan kerusi.

“Memang kami melalui PH, kami bekerjasama dengan rakan-rakan daripada Gabungan Rakyat Sabah dan juga Barisan Nasional dalam mengadakan rundingan pembahagian kerusi,” katanya.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan bercakap kepada pemberita selepas Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Butterworth.

Adly bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan kerusi yang akan ditandingi Amanah.

Beliau mengesahkan calon adalah dalam kalangan orang tempatan serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh pengundian awal pada 25 November.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan.

Enam lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik. – Bernama