SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan suntikan vaksin secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata daerah terbabit ialah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling yang dikenal pasti mengalami penularan penyakit itu.
Amirudin berkata ketetapan berkenaan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini yang turut memutuskan beberapa tindakan lain.
Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin.
Semalam seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Meru Klang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A.
Selain murid berusia lapan tahun itu yang disahkan meninggal dunia seluruh ahli keluarganya turut disahkan positif wabak terbabit.
Berhubung kes pelajar perempuan maut ditikam Amirudin berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain di sekolah berkenaan.
Beliau berkata insiden terbabit telah menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah itu selepas kejadian telah menurun.
Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa guru dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa guru dan pelajar.
Beberapa langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran keluar masuk pelajar di sekolah penggunaan pengesan logam dan pemasangan kamera litar tertutup.
Amirudin berkata proses itu akan melibatkan perbincangan bersama dengan ibu bapa sekolah Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Beliau berkata insiden ngeri sebegitu tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi Selasa lepas seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di dalam kawasan sekolah di Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman yang banyak di bahagian dada dan leher menggunakan sebilah pisau. – Bernama