KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan terhadap bekas sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd Khairul Amali Naman, 33, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar pada 12 Sept 2023.

Dalam penghakimannya Hakim Noorin berkata mahkamah berpuas hati bahawa tidak ada sebab untuk mahkamah ini mengusik dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas meneliti keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan serta pembelaan dengan terperinci.

“Hakim Mahkamah Sesyen juga telah memberikan alasan yang wajar diterima oleh mahkamah ini mengapa beliau (hakim) menerima keterangan diberikan mangsa dan saksi-saksi pendakwaan dan mengapa beliau tidak dapat menerima keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pembelaan.

“Hakim itu juga telah memberikan alasan yang wajar mengapa beliau mendapati keterangan diberikan tertuduh dan saksi-saksi pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan,” kata Hakim Noorin.

Bagaimanapun Hakim Noorin membenarkan permohonan peguam Mazri Mohamad yang mewakili perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut tertakluk kepada notis rayuan yang perlu difailkan pada atau sebelum 9 Sept ini.

“Jaminan RM20,000 yang dikenakan terhadap perayu sebelum ini dikekalkan. Perayu perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada Isnin pertama setiap bulan sehingga pendengaran rayuan terhadap keputusan itu selesai,” katanya.

Terdahulu Mazri memohon penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan terhadap keputusan tersebut diputuskan Mahkamah Rayuan, namun Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan membantah permohonan tersebut.

Pada 12 Sept 2023, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan terhadap Mohd Khairul selain memerintahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan.

Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki itu yang merupakan anak asuhan ibunya di sebuah perumahan rakyat di Jalan Ipoh di sini, antara 2 Nov 2020 dan 7 Nov 2020, pada 8 malam hingga 9 malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa sama dan di lokasi serupa, mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.