• 2025-09-18 08:25 PM

TEMERLOH: Keprihatinan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah apabila aduan masalah jalan yang diterima baginda semasa Program Kembara Pahang 1.0 pada 23 April lepas berjaya diselesaikan dalam tempoh 55 hari.

Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan 130 keluarga Kampung Lebak Seberang yang memohon satu jalan pintas dibina di Jalan Tenggoh selepas laluan sedia ada ditutup sejak empat tahun lepas.

“Penduduk telah menahan kereta saya semasa Program Kembara Pahang, ia ada rahmatnya kerana saya sekeluarga berpeluang meninjau perjalanan saya dan di situ saya mendapat maklumat mengenai masalah jalan di sini.”

“Ia masalah perhubungan 130 keluarga Kampung Lebak Seberang dan kita bersyukur dengan terbinanya Jalan Tenggoh, Kampung Lebak Seberang, ia memberikan kemudahan kepada mereka,“ titah baginda ketika berangkat melawat jalan pintas itu.

Baginda bertitah kecepatan penyelesaian masalah itu adalah hasil kerjasama baginda dan kerajaan negeri yang komited memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Ini akan menjadi contoh dan penanda aras kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat.”

“Ia boleh dipercepat jika kita benar-benar beri tumpuan kepada isu setempat,“ titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berharap jalan pintas tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk khususnya di kampung sekitar.

Jalan Tenggoh, Kampung Lebak Seberang yang menelan kos 116,800 ringgit itu dibina sepanjang 193 meter dengan kelebaran 3.3 meter.

Projek penurapan jalan disiapkan hanya dalam tempoh tiga hari selepas ia bermula pada 13 Jun lepas. – Bernama