• 2025-07-08 09:25 AM

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas semua produk import dari Malaysia, berkuat kuasa mulai 1 Ogos tahun ini.

Langkah ini diumumkan menerusi surat Presiden AS Donald Trump kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam surat tersebut, Trump menyatakan bahawa kadar 25 peratus itu lebih rendah daripada angka yang sepatutnya dikenakan bagi menangani defisit perdagangan AS dengan Malaysia. Namun, beliau menegaskan bahawa tiada tarif akan dikenakan sekiranya syarikat Malaysia memilih untuk menghasilkan atau membangunkan produk di AS.

“Washington akan memastikan kelulusan diberikan dengan cepat dan profesional, dalam tempoh beberapa minggu sahaja,“ menurut surat itu.

Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya Malaysia mengambil tindakan balas dengan menaikkan tarif ke atas produk AS, negara itu akan mengenakan kadar tambahan selain daripada 25 peratus yang telah ditetapkan.

Malaysia sebelum ini telah menjalankan rundingan dengan AS bagi mengurangkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan sejak April. Rundingan terakhir diadakan pada 18 Jun lalu.

Pengumuman ini dibuat sebelum lawatan rasmi Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, ke Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan ASEAN-AS dan mesyuarat menteri luar ASEAN.