KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi daripada tuduhan gagal memaklumkan kepada pegawai polis sebelum mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ pada Ogos 2022.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad untuk menarik balik kes terhadap Amir Hariri, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan.
“Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan perintah keputusan Mahkamah Persekutuan serta mengambil maklum mengenai fakta bahawa kes telah dihantar semula daripada Mahkamah Tinggi ke mahkamah ini untuk saya putuskan, selain pendakwaan juga setakat ini belum menerima arahan untuk mendakwa semula tertuduh, mahkamah memberikan perintah agar tertuduh dilepas dan dibebaskan,“ kata Farah Nabihah.
Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan RM4,000 dikembalikan kepada penjamin.
Amir Hariri diwakili peguam Rajsurian Pillai.
Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah kemudian memerintahkan kes Amir Hariri dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diselesaikan secara adil dan segera.
Amir Hariri didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang 14 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan - BERNAMA