MELAKA: Seorang daripada anak pengasas ajaran sesat Al-Arqam, As’aari Muhammad atau ‘Abuya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan cuba menghina agama Islam.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad ‘Athoullah As’aari, 39, didapati memiliki dokumen seperti buku bertajuk ‘Politik Islam Membawa Kasih Sayang’ dan ‘Pendidikan Rasulullah’ serta satu bingkai bergambar As’aari.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ayer Molek Perdana 10, Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah, sekitar 1.15 petang pada 21 Sept lepas.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu cuba menghina agama Islam dengan cara menghina fatwa dikeluarkan oleh Mufti melalui Warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan Warta bertarikh 2 Ogos 2007.
Sementara itu isterinya, Ummu Habibah Raihan, 41, didapati bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan Muhammad ‘Athoullah apabila menyimpan dokumen-dokumen tersebut di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Dalam pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang dibaca bersama Seksyen 63 enakmen sama iaitu subahat dalam kesalahan cuba menghina agama Islam apabila dengan sengaja membantu perbuatan suaminya yang menyalahi undang-undang.
Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka Atras Mohamad Zin mencadangkan jaminan RM1,000 ke atas Muhammad ‘Athoullah sebelum ini dikekalkan dan dilanjutkan sehingga ke tarikh baharu perbicaraan manakala Ummu Habibah dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 atau dua penjamin.
Peguam Syarie Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad yang mewakili tertuduh tidak membantah cadangan pihak pendakwaan tersebut.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membenarkan cadangan pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Februari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam pada itu, pertuduhan ke atas lima lagi Orang Yang Disyaki (OYDS) iaitu dua anak lelaki pengasas Al-Arqam yang berumur 42 dan 45 tahun serta pasangan masing-masing yang sepatutnya berdepan pertuduhan sama hari ini, ditangguhkan kepada tarikh sama dengan jumlah bon jaminan sama dikenakan.