MADRID: Jurulatih pasukan kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti, dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Wilayah Madrid atas kesalahan mengelak cukai.
Keputusan itu dikeluarkan pada Rabu, menurut laporan agensi berita Jerman dpa.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda sebanyak €386,361.93 (AS$452,268.39). Keputusan ini belum muktamad dan masih boleh dirayu.
Ancelotti, bekas jurulatih Real Madrid, tidak dijangka akan menjalani hukuman penjara kerana hukuman penjara sehingga dua tahun biasanya digantung pelaksanaannya di Sepanyol.
Sebelum ini, pejabat pendakwa raya menuntut hukuman penjara lebih berat iaitu empat tahun sembilan bulan serta denda melebihi €3 juta.
Ancelotti didakwa gagal membayar cukai berjumlah sekitar €1.06 juta kepada pihak berkuasa cukai semasa penggal pertamanya bersama Real Madrid dari 2013 hingga 2015. - Bernama