• 2025-07-22 04:22 PM

ALOR SETAR: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling meninggal dunia pagi ini, dua hari selepas terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan untuk bertugas.

Muhamad Armin Abdullah, 22, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 pagi di Hospital Baling akibat kecederaan serius.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Lt (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, kemalangan berlaku pada Ahad lepas ketika arwah dalam perjalanan ke KSP Campsite, Baling, untuk program Latihan Pemantapan Kecergasan bersama pengamal media Kedah.

“Motorsikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah kereta di Jalan Sungai Limau, menyebabkan patah tangan dan kaki kiri,“ jelasnya.

Jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Limau.

Mohd Faizol turut memuji dedikasi dan disiplin tinggi arwah, yang menyertai APM sejak 2022.

“Ini kehilangan besar buat APM, terutama warga Baling,“ katanya. – Bernama