• 2025-09-01 08:01 PM

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia dilaporkan hilang lebih seminggu dengan kali terakhir dikesan selepas mandi bersama rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata Muhammad Ammar Mohd Ariffin berusia 27 tahun bertugas di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Beliau kini dalam tempoh menjalani kursus penyelia pengangkutan kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material TUDM Bandar Kinrara, Puchong.

Muhammad Ammar kali terakhir dilihat pada 23 Ogos pukul 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya yang merupakan anggota TUDM.

Beliau kemudian kelihatan seorang diri selepas itu sebelum dilaporkan hilang.

Pada 24 Ogos kira-kira 6 petang rakan sebilik kursus menghubungi lelaki itu namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan.

Anggota TUDM dari INSMAT membuat laporan polis pada 25 Ogos pukul 4.16 petang kerana Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula ke institut.

Anggota TUDM itu berkulit cerah dan berambut pendek serta lurus dengan ketinggian kira-kira 175 sentimeter.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan individu berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222 atau 03-80713136. – Bernama