• 2025-09-05 02:34 PM

KUALA LUMPUR: Seekor anjing liar telah menyerang seorang kanak-kanak berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan di kepala di kawasan Cheras pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof mengesahkan bahawa Majlis Perbandaran Kajang telah mengenal pasti haiwan tersebut sebagai anjing tanpa pemilik.

“Pihak MPKj mengesahkan anjing itu tiada pemilik dan telah mengeluarkan surat pemakluman untuk diserahkan kepada Jabatan Veterinar,“ katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Kajang masih menerima rawatan lanjut di Wad Kanak-Kanak Hospital Putrajaya.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial setelah video menunjukkan kanak-kanak tersebut cedera parah ketika bermain basikal berhampiran rumahnya di Batu 9, Cheras.

Dalam kes yang berasingan, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang memanjat bumbung rumah dengan membawa pisau di kawasan perumahan Semenyih.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.50 malam dan berjaya memujuk lelaki tersebut dengan bantuan pihak bomba.

“Setelah hampir empat jam dipujuk, suspek yang hanya memakai seluar pendek berjaya ditahan,“ tambah Naazron.

Suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut.

Semakan rekod mendapati lelaki tersebut mempunyai 26 rekod lampau termasuk kesalahan penyalahgunaan dadah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Khairie Ridhwan Azmi melalui talian 011-36307974. – Bernama