• 2025-07-03 09:09 AM

ROM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan komuniti Islam di Rom semasa lawatan kerjanya ke Itali. Beliau berpeluang berinteraksi dengan Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS) Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali – Masjid Besar Rom Abdellah Redouane.

Dalam pertemuan itu, Anwar menekankan komitmen Malaysia dalam mempromosikan nilai kesederhanaan, toleransi, dan keharmonian dalam Islam. “Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,“ katanya.

Beliau turut menyumbang kepada komuniti Islam di Rom dan menghadiahkan naskhah al-Quran edisi khas serta 10 terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan. Itali mempunyai kira-kira 2.7 juta penduduk beragama Islam.